KURMA…sedapnya buah kurma ini.
Assalamualaikum semua..kali ini saya hendak cerita dan berkongsi serba sedikit tentang buah kurma pula. Tidak kiralah apa-apa yang berkaitan dengan buah kurma. Saya suka makan buah kurma. Selain buah kurma, ada juga orang memanggilnya buah tamar.
Buah kurma selalunya boleh didapati daripada Tanah Arab. Di Malaysia tidak ada pokok kurma. Pokok kelapa sawit adalah. (saya tengok pokok sawit serupa macam pokok kurma). Hal ini kerana, pokok kurma memerlukan cahaya dan suhu yang agak panas untuk hidup. Suhu di Malaysia contohnya, tidak sesuai untuk pertumbuhan pokok kurma.
1- Buah kurma selalu dimakan ketika bulan Ramadhan.
Iaitu ketika orang Islam hendak berbuka puasa. Kita memang digalakkan berbuka puasa dengan memakan buah kurma terlebih dahulu. Ini merupakan perkara sunat yang mana dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Baginda menyebut bahawa buah kurma memiliki berkat yang besar, hingga menganjurkan umatnya agar berbuka puasa dengan buah kurma. Hal itu seperti yang terdapat dalam sabdanya ini, maksudnya:
“Apabila seseorang di antara kamu berbuka, hendaklah berbuka dengan buah kurma kerana ia mengandungi berkat, dan jika tidak mendapatkan buah kurma, maka berbukalah dengan air, kerana ia membersihkan.”
(Diriwayatkan Imam Ahmad dari Anas bin Malik radiallahuanhu, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dari Slman bin Amir radiallauanhu).
Mengapa demikian? Ini kerana dengan memakan buah kurma atau zat air, zat-zat gula akan membekalkan tenaga terhadap tubuh dalam jumlah yang besar. Pertambahannya juga menjadi cepat kerana perut dalam keadaan kosong, begitu juga dengan usus. Kedua-duanya sudah sedia untuk menjalankan fungsinya iaitu menyerap dengan cepat khususnya jika terdapat kandungan air yang besar dalam buah kurma, atau jika buah kurma tersebut direndam dalam air. Kemudian jika ditambah dengan kondisi zat gula ini dalam bentuk kimia yang melalui proses pencernaan pertama, kandungan gula dalam darah akan bertambah dengan cepat. Kandungan air yang banyak, atau buah kurma yang direndam dengan air, akan membekalkan air ke dalam tubuh dalam jumlah yang cukup untuk menghilangkan rasa haus.
2- Rasulullah SAW minum rendaman buah kurma.
Buah kurma merupakan salah satu buah yang telah diciptakan oleh Allah, yang terdapat di dalamnya berbagai-bagai khasiat. Seperti makanan yang lain, buah kurma dapat mengenyangkan perut, malahan dapat dijadikan minuman. Cara membuat minuman dari buah kurma adalah dengan merendamnya dalam air sehingga hancur dan nikmat untuk diminum.
Pernah diceritakan bahawa baginda juga meminum rendaman buah kurma dalam pesta perkahwinan dan juga acara-acara lain.
Bersumber dari Sahal bin Sa’ad, dia menceritakan: Abu Usaid Al- Saidi pernah mengundang baginda ke pesta perkahwinannya. Selanjutnya Sahal bertanya, “Adakah kamu mengetahui apa yang telah aku berikan kepada baginda sebagai minuman? Aku telah merendam beberapa buah kurma ada malam hari dalam sebuah cawan. Ketika baginda makan, aku berikan rendaman buah kurma itu sebagai minuman baginda.”
(Diriwayatkan Imam Bukhari, Sahih Bukhari, X/94, nombor 5597. Imam Muslim, 86/2006.
Kini kita juga boleh mendapatkan produk jus kurma yang terdapat di pasaran.
3- Buah kurma juga dijadikan pembelah mulut pada bayi yang baru lahir.
Bayi yang baru lahir digalakkan untuk dicukur rambut dan diberi nama selepas 7 hari kelahiran. Pada hari itu juga, bayi tersebut digalakkan untuk dibelah mulutnya dengan buah kurma. Selain buah kurma, boleh juga diberi manisan madu sebagai pembelah mulut. Selepas dibelah mulut, bacalah doa untuk anak baru lahir. Ini doanya:
اَعوذُ بِكلِماتِ اللهِ التّامَّةِ مِن كُلّ شَيطانٍ وَهامَّةٍ وَمِن كُلّ عَينٍ لاَمَّةٍ.
Ertinya:
“Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada setiap gangguan syaitan dan setiap penglihatan yang jahat membahayakan.”
4- Rasulullah SAW pernah makan mentimun dengan kurma.
Rasulullah SAW pernah mencampurkan antara mentimun dengan kurma. Ini kerana ianya dapat mengurangkan rasa yang terlalu manis pada kurma. Sehingga baginda benar-benar dapat menikmati dan memakannya dengan penuh selera.
Dari Abdullah bin Ja’far, dia menyatakan:
“Aku pernah melihat Rasulullah SAW makan mentimun dengan kurma.”
(Diriwayatkan Imam Muslim dalam buku Sahih Muslim, III/1616, Kitab Al-Asyribah, Bab Akli Al-Qits’a bi Al-Rutab, nombor 147).
Baginda menggunakan mentimun untuk mengimbangkan rasa pada buah kurma.
Diriwayatkan Abu Dawud, Imam Tarmidzi dan Ibnu Majah, dari Ummu Al-Mundzir binti Qais Al-Anshari, dia menceritakan:
Rasulullah SAW pernah berkunjung kepadaku, ketika itu baginda bersama Saidina Ali yang baru sembuh dari penyakit. Kami mempunyai beberapa tandan kurma yang belum matang yang digantung. Lalu Rasulullah SAW memakan sebahagiannya dan Saidina Ali pun hendak memakan sebahagiannya pula, seketika itu pula Rasulullah SAW bersabda, “Jangan Ali, kamu baru sahaja sembuh dari sakit.” Maka Saidina Ali tidak memakannya. Lalu Ummu Al-Mundzir mengambil gandum dan silqan, kemudian menghidangkannya. Rasulullah SAW pun bersabda, “Wahai Ali, makanlah ini, sesungguhnya makanan ini lebih bermanfaat bagimu.”
(Diriwayatkan Abu Dawud, IV/193,194, Kitab Al-Tibbi, Bab fii Al- Himyah, nombor 2856).
Dalam 1 tandanan kurma, baginda pernah memakan sebahagian kurma tersebut.
6- Rasulullah SAW suka memakan buah kurma.
Baginda sangat menyukai buah kurma, malahan menjadikannya sebagai lauk bagi makanan yang lainnya. Sebagaimana yang diceritakan dalam hadis ini, dari Yusuf bin Abdullah bin Salam, dia berkata yang bermaksud:
“Aku pernah melihat Rasulullah SAW mengambil potongan roti yang diperbuat dari gandum, lalu diletakkan diatasnya sebiji buah kurma dan bersabda: Ini (buah kurma) adalah lauk ini (roti).”
7- Buah kurma menjadikan tubuh kebal dari racun dan sihir.
Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa buah kurma dapat memberikan kekebalan tubuh badan dari racun dan sihir, seperti yang disebutkan dalam hadis ini:
Dari Amir bin Sa’ad, dari ayahnya, dia dia menceritakan bahawa baginda pernah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang setiap pagi hari makan 7 biji buah kurma yang terbungkus, maka pada hari itu dia menjadi kebal dari racun dan sihir.” (HR. Bukhari)
InsyaAllah dengan memakan buah kurma, diri kita akan terhindar dari segala racun dan juga sihir.
8- Rasulullah SAW selalu memeriksa buah kurma yang diserang ulat sebelum memakannya.
Baginda sangat teliti dan tidak pernah bertindal gelojoh. Di mana baginda sentiasa memeriksa makanan yang hendak dimakannya, apalagi buah-buahan yang baru dipetik dari pohonnya. Hal ini dilakukan untuk menghindari dari berbagai macam penyakit. Jika didapati buah kurma yang diserang ulat, baginda selalu memeriksanya agar selamat dari bahaya.
Dari Anas bin Malik radiallahuanhu, dia menceritakan yang bermaksud:
“Baginda dihidangkan buah kurma yang sudah tersimpan lama, maka baginda pun memeriksanya untuk membuang ulat dari buah kurma tersebut.” (HR. Abu Dawud)
Demikianlah cerita mengenai buah kurma. Diharap kita mendapat manfaatnya. Begitulah seberapa ilmu dan pengetahuan yang dapat saya kongsikan bersama. Kepada anda semua yang ingin memberi sebarang komen, dipersilakan.
INFO BAHASA
Kurma = تَمر = Date
0 comments:
Post a Comment